Rabu, 22 Ogos 2012




MOTIVASI SOLAT IBADAH KHUSUSIAH
Aswat Rezduan Bin Ismail

HAKIKAT KITA SEBAGAI MAKHLUK SEBAIK KEJADIAN
Daripada Nabi Adam s.a.w dijadikannya daripada tanah dan ditiupkanya roh
kudus ke dalam jasadnya, maka Allah telah mengarahkan seluruh makhluk ciptaannya
termasuk Iblis dan Malaikat untuk tunduk kepadanya. Maka Malaikat pun tunduk
setelah diuji pengetahuannya oleh Allah s.w.t. Maka tidak terjawab Malaikat akan
sesuatu setelah ditanya oleh Allah, demikiannya diarahkan oleh Allah kepada Nabi
Adam untuk memberitahu akan sesuatu dan akurlah para Malaikat bahawa Allah Maha
Mengetahui akan sesuatu. Lalu tunduklah Malaikat kecuali Iblis laknatullah. Sombong
dan takbur dengan ciptaannya daripada api sedangkan Allah Maha Mengetahui akan
sesuatu ciptaanya. Allah berfirman bahawa
“Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaikbaiknya
(dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya). Kemudian (jika
dia panjang umur sehingga tua atau menyalahgunakan kelengkapan itu),
Kami kembalikan dia ke serendah-rendah peringkat orang-orang yang
rendah”.
Demikianlah ingatan Allah dalam Surah At Tiin, Ayat: 4-5.
Persoalannya, Adakah Kita Yakin Yang Kita Diciptakan
Sebaik-Baik Kejadian?
Jawabnya, jika kita tidak yakin dengan firman Allah s.w.t, maka kita telah
bersetuju dengan Iblis yang dijadikan daripada api, yang mana mereka menyangkal
kejadian manusia daripada tanah yang merupakan jisim yang hina dan api lebih mulia.
Kita juga bersetuju dengan Iblis yang kita tidak dapat menjadi suatu makhluk yang
lebih mulia dari Malaikat. Ketahuilah Sesungguhnya Allah Maha mengetahui.

Antara Hikmah kejadian kita daripada tanah adalah untuk kita hidup di dunia ini
supaya merasai nikmat dunia yang sementara dan akan dikurniakan nikmat
yang tidak terhingga jika kita berjaya dengan ujian-Nya dan berserah kepadanya.
Maka ujian ini adalah sebagai motivasi diri untuk kita buktikan kepada seluruh
makhluk terutamanya Iblis yang mana kejadian kita ini sebagai makhluk yang
sebaik-baik kejadian tidak sia-sia. Kehidupan di dunia ini juga untuk kita buktikan
kepada Malaikat yang sentiasa bersama kita, tugas kita yang sebenar dijadikan.
Tugas kita sebagai khalifah bumi.
Sesungguhnya manusia dikurniakan dengan dua kelebihan, Akal dan
Nafsu. Manakala Malaikat hanya mempunyai Akal, dan Iblis hanya
mempunyai Nafsu. Ini adalah satu lagi bukti kita sebaik-baik kejadian. Ketahuilah
wahai manusia, sesungguhnya, kita tidak layak untuk menerima syurga Allah dan
hujahnya,
1) Kita dijadikan sebaik-baik makhluk jauh lebih mulia daripada Malaikat dan Iblis,
sedangkan Allah berhak untuk TIDAK menjadikan kita apa-apa pun, tetapi kita
masih lagi tidak bersyukur dengan menyembah-Nya (Solat).
2) Nikmat yang Allah beri kepada kita secara sedar atau tidak, melampaui batas
sedangkan kita tidak dapat membalas walaupun kita beribadat siang dan
malam, apa yang kita mampu hanya menunjukkan tanda kesyukuran (Ibadah)
kepada-Nya.
3) Permintaan Allah untuk beribadat kepadaNya terlampau sedikit berbanding
dengan nikmat dan balasan yang dijanjikan kepada kita iaitu Syurga. (Akan
dibuktikan dalam penerangan di bawah)
Persoalannya, Adakah Kita Layak Mendapat Syurganya?
Sesungguhnya ujian dunia ini adalah supaya kita memilih untuk bersama
dengan Allah atau tidak. Maka beruntunglah sekelian makhluknya yang memilih
untuk bersama dengan-Nya (bersama dengan Allah bermaksud mengikut jalan yang
telah ditetapkan oleh-Nya melaui Al-Quran dan Hadis). Maka ketahuilah balasan
tempat kembali adalah serendah-rendah tempat kembali, Neraka.

HAKIKAT SOLAT 5 WAKTU
Sebagai motivasi diri untuk mereka yang merasakan ibadat khususiah
seperti solat 5 waktu itu berat untuk dikerjakan.
Solat 5 waktu sehari semalam adalah ibadat khusus untuk kita sentiasa
mengingati-Nya dan sebagai benteng untuk kita sentiasa bersama Allah sehingga
akhir hayat. Pentingnya solat ini adalah untuk kita kembali bertemu Allah s.w.t
sebagai Muslim dan bukan sebagai orang kafir. Seperti hadis riwayat muslim
tersebut:
Ertinya:
“Daripada Abu Hurairah r.a. bahawasanya Rasulullah saw. bersabda;
"Bersegeralah kamu beramal sebelum menemui fitnah (ujian berat terhadap
iman) seumpama malam yang sangat gelap. Seseorang yang masih beriman
di waktu pagi, kemudian pada waktu petang dia sudah menjadi kafir, atau
(Syak Perawi Hadis) seseorang yang masih beriman di waktu petang,
kemudian pada esok harinya, dia sudah menjadi kafir. Ia telah menjual
agamanya dengan sedikit dari mata benda dunia.”
H.R.Muslim
Walaubagaimanapun masih ramai yang tidak mengatahui hakikat solat 5 waktu
ini dan berasa malas dan berat untuk dikerjakan walaupun telah diingatkan dosa-dosa
bagi yang meninggalkan solat. Antara dosa meninggalkan solat:
SOLAT SUBUH – Solat subuh 2 rakaat. Meninggalkan Solat Subuh dengan sengaja
tanpa keuzuran, Allah akan mencampakkannya ke dalam neraka Jahannam selama 60
tahun akhirat. 1 tahun akhirat bersamaan dengan 60,000 tahun dunia..nauzubillah.
SOLAT ZUHUR – Solat Zuhur 4 rakaat. Meninggalkannya samalah seperti kita
membunuh 1000 orang muslim. Janganlah kita sentiasa memperkatakan tentang
kekejaman orang membunuh sesama insan pada hari ini kerana sekiranya kita
meninggalkan solat zuhur, kita tidak ubah seperti mereka juga…nauzubillah.
SOLAT ASAR – Solat Asar 4 rakaat juga. Sekiranya kita meninggalkan Solat Asar
seumpama kita meruntuhkan Kaabah. Kaabah itu ialah kiblat orang islam. Sanggupkah
kita meruntuhkannya? fikir-fikirkanlah…
SOLAT MAGHRIB - Solat Maghrib 3 rakaat. Dosa meninggalkannya ialah seperti kita
berzina dengan ibu bapa kita sendiri..nauzubillah…
MOTIVASI SOLAT IBADAH KHUSUSIAH
Aswat Rezduan Bin Ismail
4 | M u k a
SOLAT ISYAK - Allah SWT berseru kepada mereka “Hai orang yang meninggalkan
solat Isyak, bahawa Aku tidak lagi redha engkau tinggal dibumiKu dan menggunakan
nikmat-nikmatku, segala yang digunakan dan dikerjakan adalah berdosa kepada Allah
SWT.” Masya’Allah…banyaknya nikmat Allah yang telah kita kecapi selama ini dan
adakah dengan mengecapi nikmat itu, semuanya akan mendatangkan dosa lantaran
dari kita meninggalkan solat isyak?…
Dosa meninggalkan solat tersangatlah berat kerana merujuk kepada antara hujah no. 3
di atas:
“Permintaan Allah untuk beribadat kepadaNya terlampau sedikit berbanding
dengan nikmat dan balasan yang dijanjikan kepada kita iaitu Syurga.”
Ini dapat dibuktikan secara fakta!
Buktinya dapat dihuraikan dengan satu kalimah iaitu:
Ertinya:
“Dengan nama Allah yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang”
Boleh dikatakan semua Muslim menyebut kalimah ini secara langsung atau pun
tidak. Kebiasaanya kita menyebut kalimah ini semasa makan, membaca, bekerja, tidur
dan sebagainya. Secara lazimnya, kalimah ini telah menjadi kalimah biasa dalam
kehidupan seseorang Muslim. Walaupun bagitu, tidak ramai yang menghayati hikmah di
sebalik kalimah ini dan kebanyakannya hanya menyebut tetapi tidak mengamalkan di
dalam erti kehidupan di dunia dan akhirat. Maksud sebenar kalimah ini tidak akan tamat
jika dihuraikan walaupun sehingga hari kiamat. Ini kerana sifat Allah ini tidak akan
dapat dihuraikan melalui tulisan dan kata-kata, hanya Allah sahaja yang Maha
Mengetahui. Apa yang dapat dihuraikan hanyalah ilmu yang hanya dikurniakan dan
diizinkan oleh Allah s.w.t melalui Nabi Muhammad s.a.w.
Ini adalah salah satu contoh Allah bersifat Maha Pemurah dan Maha Penyayang
dari pandangan pengarang sebagai tanda untuk mengesakan Allah s.w.t. Secara
umumnya, purata usia umat Nabi Muhammad s.a.w. dalam lingkungan 65-70 tahun.

Walaupun ada di antara kita yang boleh mencecah usia hingga ke 100 tahun, 65 tahun
adalah usia bagi kebanyakan umat Muhammad s.a.w. (dengan izin Allah s.w.t)
Cuba kita fikirkan secara mendalam, selama 65 tahun kita hidup di dunia,
adakah kita berasa 65 tahun itu lama? Jawabnya, benarlah apa yang
diFirmankan oleh Allah s.w.t:
“Ketahuilah bahwa sesungguhnya kehidupan dunia itu hanyalah permainan
dan suatu yang melalaikan, perhiasan dan bermegah-megah antara kamu
serta berbangga-banggaan tentang banyaknya harta dan anak, seperti hujan
yang tanam-tanamannya mengagumkan para petani; kemudian tanaman itu
menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning kemudian menjadi hancur.
Dan di akhirat (nanti) ada azab yang keras dan ampunan dari Allah serta
keredhaan-Nya. Dan kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan
yang menipu.
Demikianlah ingatan Allah dalam Al-Hadiid: Ayat 20)
Walaupun begitu Allah Maha Pemurah dan Maha Penyayang telah memberi kita
banyak kelonggaran dalam hidup di dunia. Sebagai contoh antaranya tidur. Tidur
merupakan satu hikmah dan nikmat yang amat besar dalam hidup di dunia. Semasa
kita tidur, Allah telah mengurangkan ruang untuk kita melakukan dosa. Jika
kita tidur sehari dalam 8 jam sehari, ini bermakna kita tidur 1/3 dari 24 jam. Ini
bermakna jika kita hidup 60 tahun, maka kita tidur sahaja selama 20 tahun.
Bukankah ini 1 bukti yang nyata bahawa Allah Maha Penyayang.
Allah juga memberikan kita masa selama 15 tahun untuk belajar dan
matang sebelum dihisab segala dosa. Itulah dia tanda seseorang itu telah akil
baligh. Selama mana manusia itu belum akil baligh, sebarang dosa yang dilakukan tidak
akan dihisab. Bukankah ini 1 lagi bukti yang nyata bahawa Allah Maha Penyayang.
Jika dicampurkan masa tidur dan masa akil baligh, Allah telah memberi kita
selama 35 tahun untuk tidak dihisab dari segi dosa. Sesungguhnya Allah Maha
Pemurah Lagi Maha Penyayang.

Purata Usia Akil Baligh= 15 tahun
Purata Masa Tidur Selama Hidup= 20 tahun
JUMLAH MASA HIDUP TANPA DOSA= 15+20= 35 TAHUN
JUMLAH MASA HIDUP UNTUK MENGESAKAN ALLAH S.W.T
65-35= 30 TAHUN SAHAJA! ALLAHUAKBAR.
ADAKAH KITA MASIH LAGI TIDAK YAKIN DENGAN KALIMAH INI.
BUKTINYA PADA HAKIKAT SOLAT 5 WAKTU…
Cuba kita fikirkan, secara asasnya, menunaikan satu solat mengambil masa kita
selama 6 minit secara purata. 5 waktu mengambil masa kita lebih kurang 30 minit
sehari. Jika kita nisbahkan,
30 MINIT SOLAT UNTUK 1 HARI
MAKA 24 JAM SOLAT UNTUK 48 HARI
MAKA 7 HARI SOLAT UNTUK 336 HARI
MAKA 210 HARI SOLAT UNTUK 30 TAHUN
Ini bermakna, 1 tahun kita hidup, ibadat solat khusus yang perlu dikerjakan hanya
seminggu. Selama 30 tahun masa yang tinggal setelah ditolak masa akil baligh dan
tidur, ibadat solat khusus yang wajib dikerjakan hanya 210 hari selama kita hidup.
SUBHANALLAH. Bayangkan, selamat 65 tahun kita hidup di dunia sementara ini, ibadat
wajib solat 5 waktu hanya mengambil masa kita tidak sampai 1 tahun kita hidup.
64 tahun lagi Allah bagi untuk kita menikmati RahmatNya di dunia ini.
Ibadat yang terlampau sedikit ini Allah menjanjikan balasan yang tidak terhingga
hebatnya iaitu, Syurga. Oleh yang demikian, pengarang mengharapkan pihak yang
telah membaca sedikit nukilan ini untuk mengambil iktibar dan sebagai motivasi untuk
kita terus memperbanyakan amalan kita sebelum kita kembali bertemu Allah s.w.t.
ALLAHUAKBAR.

Sebagai motivasi diri, beberapa soalan perlu dijawab:
Adakah kita layak dijadikan makhluk sebaik kejadian?
Adakah kita masih tidak yakin dengan kebenaran Allah Pemurah Lagi Maha
Penyayang?
Adakah kita layak untuk menerima kasih-sayangnya sebegini besar?
Apa yang patut kita laksanakan sebagai tanda kesyukuran kepada Allah
setelah menjadikan kita?
Inilah antara persoalan yang perlu dijawab oleh diri setiap Muslim. Di
sebalik soalan ini terdapat jawapan mengapa kita wajib solat. Di sebalik
soalan ini juga terdapat jawapan mengapa kita wajib mengEsakan Allah. Di
sebalik soalan ini juga terdapat mengapa kita wajib menjadi makhluk
terbaik. Maka demikian itulah sedikit sebanyak yang dapat dikongsikan oleh
pengarang kepada pembaca yang masih tercari-cari tujuan hidup di dunia ini.
Segala yang tersilap dalam tulisan dan perkataan, pengarang memohon
maaf. Semua yang baik dari Allah s.w.t, yang buruk datang dari pihak
pengarang sendiri. Sekian.
Yang Menulis,
Aswat Rezduan Bin Ismail…

Tiada ulasan:

Catat Ulasan