Isnin, 18 Jun 2012

Pahala Membantu Tetangga Dan Anak Yatim


بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang


Pada suatu masa ketika Abdullah bin Mubarak berhaji, tertidur di Masjidil Haram. Dia telah bermimpi melihat dua malaikat turun dari langit lalu yang satu berkata kepada yang lain, 

"Berapa banyak orang-orang yang berhaji pada tahun ini?"

Jawab yang lain, "Enam ratus ribu."

Lalu ia bertanya lagi, "Berapa banyak yang diterima ?"

Jawabnya, 

"Tidak seorang pun yang diterima, hanya ada seorang tukang sepatu dari Damsyik bernama Muwaffaq, dia tidak dapat berhaji, tetapi diterima hajinya sehingga semua yang haji pada tahun itu diterima dengan berkat hajinya Muwaffaq."

Ketika Abdullah bin Mubarak mendengar percakapannya itu, maka terbangunlah ia dari tidurnya, dan langsung berangkat ke Damsyik mencari orang yang bernama Muwaffaq itu sehingga dia sampai ke rumahnya. 

Dan ketika diketuknya pintunya, keluarlah seorang lelaki dan segera ia bertanya namanya.

Jawab orang itu, "Muwaffaq."

Lalu Abdullah bin Mubarak bertanya padanya,
"Kebaikan apakah yang telah engkau lakukan sehingga mencapai darjat yang sedemikian itu?"

Jawab Muwaffaq, 
"Tadinya aku ingin berhaji tetapi tidak dapat kerana keadaanku, tetapi mendadak aku mendapat wang tiga ratus diirham dari pekerjaanku membuat dan menampal sepatu, lalu aku berniat haji pada tahun ini sedang isteriku pula hamil, maka suatu hari dia tercium bau makanan dari rumah jiranku dan ingin makanan itu, maka aku pergi ke rumah jiranku dan menyampaikan tujuan sebenarku kepada wanita jiranku itu.

Jawab jiranku, 
"Aku terpaksa membuka rahsiaku, sebenarnya anak-anak yatimku sudah tiga hari tanpa makanan, kerana itu aku keluar mencari makanan untuk mereka. Tiba-tiba bertemulah aku dengan bangkai himar di suatu tempat, lalu aku potong sebahagiannya dan bawa pulang untuk masak, maka makanan ini halal bagi kami dan haram untuk makanan kamu."
"Ketika aku mendegar jawapan itu, aku segera kembali ke rumah dan mengambil wang tiga ratus dirham dan kuserahkan kepada jiranku tadi, seraya menyuruhnya membelanjakan wang itu untuk keperluan anak-anak yatim yang ada dalam jagaannya itu"

"Sebenarnya hajiku adalah di depan pintu rumahku." Kata Muwaffaq lagi.

Demikianlah cerita yang sangat berkesan bahawa membantu jiran tetangga yang dalam kelaparan amat besar pahalanya apalagi di dalamnya terdapat anak-anak yatim.

Rasulullah ada ditanya, 
"Ya Rasullah tunjukkan padaku amal perbuatan yang pabila kuamalkan akan masuk syurga."

Jawab Rasulullah, "Jadilah kamu orang yang baik."

Orang itu bertanya lagi, 
"Ya Rasulullah, bagaimanakah akan aku ketahui bahawa aku telah berbuat baik?"

Jawab Rasulullah,
"Tanyakan pada tetanggamu, maka apabila mereka berkata engkau baik maka engkau benar-benar baik dan bila mereka berkata engkau jahat, maka engkau sebenarnya jahat."


p/s: Ingatan untuk diri ini jua..insan yang lemah..semoga kita mendapat pedoman daripadanya...
Semoga yang baik itu datangnya daripada Allah S.W.T dan yang buruk itu datangnya daripada kelemahan diri ini jua..

Ahad, 17 Jun 2012


بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

ASPIRASI BUATMU, WAHAI WANITA SOLEHAH..
Yang tercari-cari Identiti Diri...


Yang melindungi diri dan hati budinya dengan malu,
Yang melabuhkan sopannya di seiap penjuru,
Yang melembutkan suara merdunya,
Yang sentiasa sentiasa cekal dan tabah hatinya,
Yang tidak pernah patah semangat wajanya,
Yang memberi cinta ke sejagat maya,
Yang cintanya kepada Allah dengan penuh keikhlasan hati,
Yang memenuhkan hati dengan keinsafan dan keimanan.

Yang mengosongkan kalbu daripada dendam,
Yang menyemarak kasturi di kelopak iman.

Wanita dilahirkan daripada rusuk kiri lelaki,
Wanita dilahirkan layak jadi suri,
Wanita diciptakan untuk pasangan si suami,
Wanita diwujudkan untuk meramaikan umat Nabi

Wanita adalah sebahagian kurniaan Ilahi,
Wanita adalah sebahagian keindahan alam,
Wanita adalah ibarat asam garam,
Wanita adalah ibarat bulan bintang

Wanita dipandang daripada peribadinya
Yang tentunya diharap dapat melembutkan hati suami dan keluarga
Wanita dilihat daripada budi bahasanya,
Yang sepenuh hati mencurahkan khidmat sucinya
Wanita dinilai daripada kesabarannya,
Yang tahu menjaga milik dirinya, serta penuh taqwa
Wanita diperhati dariapda kesetiaannya,
Yang dapat memikat serta menyukakan hati apabila memandangnya
Wanita ditinjau sifat keibuannya,
Yang sanggup meramaikan umat Nabi,
bukannya mementingkan kecantikan diri.

Kecantikan yang diperolehi adalah milik Allah S.W.T,
Tempoh masa yang dilalui tergambar,
Sampai tika, tanpa tempoh dan tangguh,
Menyambut panggilan ILAHI....




\

" Jadikanlah dirimu mawar yang menyeri dan menguntum di jalan dakwah dan biarkan mawar itu terpaksa melukai tangan-tangan untuk merasai harumnya kasih Allah"

Semoga yang baik itu datangnya daripada Allah S.W.T dan yang buruk itu datangnya daripada kelemahan diri ini jua..

Sabtu, 16 Jun 2012


بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang

Dalam sebuah riwayat menceritakan, pada suatu hari Luqman Hakim telah masuk ke dalam pasar dengan menaiki seekor himar, manakala anaknya mengikut dari belakang.

Melihat tingkah laku Luqman itu, setengah orang pun berkata,
'Lihat itu orang tua yang tidak bertimbang rasa, sedangkan anaknya dibiarkan berjalan kaki."

Setelah mendengarkan desas-desus daripada orang ramai maka Luqman pun turun dari himarnya itu lalu diletakkan anaknya di atas himar itu.

Melihat yang demikian, maka orang di pasar itu berkata pula,
"Lihat orang tuanya berjalan kaki sedangkan anaknya sedap menaiki himar itu, sungguh kurang adab anak itu."

Sebaik saja mendengar kata-kata itu, Luqman pun terus naik ke atas belakang himar itu bersama-sama dengan anaknya.

Kemudian orang ramai pula berkata lagi,
"Lihat itu dua orang menaiki seekor himar, sungguh menyiksakan himar itu."

Oleh kerana tidak suka mendengar percakapan orang, maka Luqman dan anaknya turun dari himar itu, kemudian terdengar lagi suara orang berkata,
"Dua orang berjalan kaki, sedangkan himar itu tidak dinaikinya."


Dalam perjalanan mereka kedua beranak itu pulang ke rumah, Luqman Hakim telah menasihati anaknya tentang sikap manusia dan telatah mereka, katanya,
"Sesungguhnya tiada terlepas seseorang itu dari percakapan manusia. Maka orang yang berakal tiadalah dia mengambil pertimbangan melainkan kepada Allah S.W.T saja. Barang siapa mengenal kebenaran, itulah yang menjadi pertimbangannya dalam tiap-tiap satu."

Kemudian Luqman Hakim berpesan kepada anaknya, katanya,
"Wahai anakku, tuntutlah rezeki yang halal supaya kamu tidak menjadi fakir. Sesungguhnya tiadalah orang fakir itu melainkan tertimpa kepadanya tiga perkara, iaitu tipis keyakinannya (iman) tentang agamanya, lemah akalnya (mudah tertipu dan diperdayai orang) dan hilang kemuliaan hatinya (keperibadiannya), dan lebih celaka lagi daripada tiga perkara itu ialah orang-orang yang suka merendah-rendahkan dan meringan-ringankannya."


p/s: Susah bagi kita untuk memuaskan hati semua orang, sehingga ada saja kata-kata yang kurang enak didengari..tetapi insyaAllah dengan keikhlasan hati hanya kerana Allah, kita dapat menjadi insan yang kuat untuk menghadapi cabaran...Allah Maha Mengetahui...



Semoga yang baik itu datangnya daripada Allah S.W.T dan yang buruk itu datangnya daripada kelemahan diri ini jua
..

Jumaat, 15 Jun 2012

Kisah Fadhilat Membaca Ayat Kursi








بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

KISAH FADHILAT MEMBACA AYAT KURSI

Abu Hurairah r.a. pernah ditugaskan oleh Rasulullah S.A.W untuk menjaga gudang zakat di bulan Ramadhan. Tiba-tiba muncullah seseorang, lalu mencuri segenggam makanan. Namun kepintaran Hurairah memang patut dipuji, kemudian pencuri itu kemudian berhasil ditangkapnya.

"Aku akan adukan kamu kepada Rasulullah S.A.W," gertak Abu Hurairah.

Bukan main takutnya pencuri itu mendengar ancaman Abu Hurairah, hingga kemudian ia pun merengek-rengek : 

"Saya ini orang miskin, keluarga tanggungan saya banyak, maka saya sangat memerlukan makanan."

Maka pencuri itu pun dilepaskan. Bukankah zakat itu pada akhirnya akan diberikan kepada fakir miskin ? 

Keesokan harinya, Abu Hurairah melaporkan kepada Rasulullah S.A.W. 

Maka bertanyalah beliau : 

"Apa yang dilakukan kepada tawananmu semalam, ya Abu Hurairah?"

Ia mengeluh, 

"Ya Rasulullah, bahwa ia orang miskin, keluarganya banyak dan sangat memerlukan makanan," jawab Abu Hurairah.

Lalu diterangkan pula olehnya, bahwa ia kasihan kepada pencuri itu,, lalu dilepaskannya.

"Bohong dia," kata Nabi : " Malam nanti ia akan datang lagi."

Kerana Rasulullah S.A.W berkata begitu, maka penjagaannya diperketat, dan kewaspadaan pun ditingkatkan.Dan, benar juga, pencuri itu kembali lagi, lalu mengambil makanan seperti kelmarin. Dan kali ini ia pun tertangkap.

"Akan aku adukan kamu kepada Rasulullah S.A.W," ancam Abu Hurairah, sama seperti kelmarin.

Dan pencuri itu pun sekali lagi meminta ampun : 

"Saya orang miskin, keluarga saya banyak. Saya berjanji esok tidak akan kembali lagi."

Kasihan juga rupanya Abu Hurairah mendengar keluhan orang itu, dan kali ini pun ia kembali dilepaskan. Pada paginya, kejadian itu dilaporkan kepada Rasulullah S.A.W, dan beliau pun bertanya seperti kelmarin. 

Dan setelah mendapat jawapan yang sama, sekali lagi Rasulullah menegaskan : 

"Pencuri itu bohong, dan nanti malam ia akan kembali lagi."

Malam itu Abu Hurairah berjaga-jaga dengan kewaspadaan dan kepintaran penuh. Mata, telinga dan perasaannya dipasang baik-baik. Diperhatikannya dengan teliti setiap gerak-geri disekelilingnya sudah dua kali ia dibohongi oleh pencuri. Jika pencuri itu benar-benar datang seperti diperkatakan oleh Rasulullah dan ia berhasil menangkapnya, ia telah bertekad tidak akan melepaskannya sekali lagi. Hatinya sudah tidak sabar lagi menunggu-nunggu datangnya pencuri jahanam itu. Ia kesal. Kenapa pencuri kelmarin itu dilepaskan begitu saja sebelum diseret ke hadapan Rasulullah S.A.W ? Kenapa mahu saja ia ditipu olehnya ? "Awas!" katanya dalam hati. "Kali ini tidak akan ku ampunkan"

Malam semakin larut, jalan sudah sepi, tiba-tiba muncul bayangan yang datang menghampiri longgokan makanan yang dia jaga. "Memang benar, ia datang lagi,"katanya dalam hati. 

Dan tidak lama kemudian pencuri itu telah melutut di hadapannya dengan wajah ketakutan. Diperhatikannya benar-benar wajah pencuri itu. Ada semacam kepura-puraan pada gerak-gerinya.

"Kali ini pastinya kuadukan kepada Rasulullah. Sudah dua kali kau berjanji tidak akan datang lagi ke mari, tapi ternyata kau kembali juga. 

"Lepaskan saya," pencuri itu memohon. Tapi, dari tangan Abu Hurairah yang menggenggam erat-erat dapat difahami, bahwa kali ini ia tidak akan dilepaskan lagi. Maka dengan rasa putus asa ahirnya pencuri itu berkata : 

"Lepaskan saya, saya akan ajar tuan beberapa kalimat yang sangat berguna."

"Apakah itu kalimat-kalimat ?" Tanya Abu Hurairah dengan rasa ingin tahu. 

"Bila tuan hendak tidur, bacalah ayat Kursi : Allaahu laa Ilaaha illaa Huwal-Hayyul Qayyuuumu….. Dan seterusnya sampai akhir ayat. Maka tuan akan selalu dipelihara oleh Allah, dan tidak akan ada syaitan yang berani mendekati tuan sampai pagi."

Maka pencuri itu pun dilepaskan oleh Abu Hurairah. Agaknya naluri keilmuannya lebih menguasai jiwanya sebagai penjaga gudang.

Dan keesokan harinya, ia kembali menghadap Rasulullah S.A.W untuk melaporkan pengalamannya yang luar biasa tadi malam. Ada seorang pencuri yang mengajarinya kegunaan ayat Kursi.

"Apa yang dilakukan oleh tawananmu semalam?" tanya Rasul sebelum Abu Hurairah sempat menceritakan segalanya.

"Ia mengajarku beberapa kalimat yang katanya sangat berguna, lalu ia saya lepaskan,"jawab Abu Hurairah.

"Apakah itu kalimat ?" tanya Nabi.

Katanya : "Kalau kamu tidur, bacalah ayat Kursi : Allaahu laa Ilaaha illaa Huwal-Hayyul Qayyuuumu….. Dan seterusnya sampai akhir ayat. Dan ia katakan pula : "Jika engkau membaca itu, maka engkau akan selalu dijaga oleh Allah, dan tidak akan didekati syaitan hingga pagi hari."

Menanggapi cerita Abu Hurairah, Nabi S.A.W berkata, 
"Pencuri itu telah berkata benar, sekalipun sebenarnya ia tetap pendusta."

Kemudian Nabi S.A.W bertanya pula : 
"Tahukah kamu, siapa sebenarnya pencuri yang bertemu denganmu setiap malam itu?"

"Tidak tahu" Jawab Abu Hurairah.

"Itulah syaitan." jawab Rasulullah.

Marilah sama-sama kita beramal...:)


Semoga yang baik itu datangnya daripada Allah S.W.T dan yang buruk itu datangnya daripada kelemahan diri ini jua..

Khamis, 14 Jun 2012



 بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang

Solat atau sembahyang dalam Islam, merupakan mahkota orang-orang Islam, solat adalah ikatan yang terkuat antara hamba dan Tuhannya. Mengerjakan solat lima waktu sehari semalam akan mendamaikan hati dan ketenangan akan tercapai dengan solat yang khusyuk. Dengan bersolat, setiap mukmin akan mendekatkan dirinya dengan Allah, bermohon dan bersyukur atas kurniaan daripada Allah kepada hambaNYA.

Abdullah bin Umar R.A meriwayatkan, bahawa beliau terdengar Rasulullah bersabda:

"Islam tegak atas lima rukun":
1. Bersaksikan bahawasanya, tiada Tuhan selain Allah dan Muhammad adalah hamba-NYA serta Rasul-NYA
2. Mendirikan solat lima waku sehari semalam.
3. Membayar zakat.
4. Puasa pada bulan ramadhan.
5. Mengerjakan haji.


Agama Islam diibaratkan oleh Rasulullah sebagai sebuah khemah yang kosong yang disokong oleh lima batang tiang untuk meneguhkannya. Maka kewajipan bagi umat Islam menunaikan segala perintah Allah dan meninggalkan segala larangan Allah.

Anas r.a menceritakan bahawa dia mendengar Rasulullah S.A.W bersabda:
" Jika seseorang itu meninggal dunia dengan beriman, mematuhi perintah-perintah Allah, menunaikan solat dan membayar zakat, maka dia mati dengan keredhaan Allah".

Abdullah bin Abbas R.A pernah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda;
"Seorang yang tidak bersolat akan mengadap Allah dan Allah akan murka dengannya"

Saya tinggalkan di sini sebuah kisah yang boleh dijadikan panduan dan pedoman buat kita bersama..insyaAllah

Tajuk: Jenazah Berubah Menjadi Babi Hutan

Seorang anak datang kepada Rasulullah sambil menangis. Peristiwa itu sangat mengharukan Rasulullah S.A.W yang sedang duduk bersama-sama sahabat yang lain.

"Mengapa engkau menangis wahai anakku?" tanya Rasulullah. 

"Ayahku telah meninggal tetapi tiada seorang pun yang datang melawat. Aku tidak mempunyai kain kafan, siapa yang akan memakamkan ayahku dan siapa pula yang akan memandikannya?" Tanya anak itu.

Segeralah Rasulullah memerintahkan Abu Bakar dan Umar untuk menjenguk jenazah itu. Alangkah terperanjatnya Abu Bakar dan Umar, mayat itu berubah menjadi seekor babi hutan. Kedua-dua sahabat itu lalu segera kembali melaporkan kepada Rasulullah S.A.W.

Maka datanglah sendiri Rasulullah S.A.W ke rumah anak itu. Didoakan kepada Allah sehingga babi hutan itu kembali berubah menjadi jenazah manusia. Kemudian Nabi menyembahyangkannya dan meminta sahabat untuk memakamkannya. Betapa hairannya para sahabat, ketika jenazah itu akan dimakamkan, ia berubah kembali menjadi babi hutan.

Melihat kejadian itu, Rasulullah bertanya kepada anak itu apa yang dikerjakan oleh ayahnya selama hidupnya.

"Ayahku tidak pernah mengerjakan solat selama hidupnya," jawab anak itu.

Kemudian Rasulullah bersabda kepada para sahabatnya, 

"Para sahabat, lihatlah sendiri. Begitulah akibatnya apabila orang meninggalkan solat selama hidupnya. Ia akan menjadi babi hutan di hari kiamat."


"DIRIKANLAH SOLAT, SESUNGGUHNYA SOLAT ITU ADALAH TIANG AGAMA"

Semoga yang baik itu datangnya daripada Allah S.W.T dan yang buruk itu datangnya daripada kelemahan diri ini jua..

p/s: sekadar peringatan untuk diri ini jua.


Rabu, 13 Jun 2012


Tajuk: Buat Sahabat-sahabat Muslimahku
Karya: muslimah_nurani
Buat renungan bersama..Sahabat-sahabat yang bergelar Muslimah..
Bismillahirrahmaanirrahiim..

Assalamu’alaikum w.b.t. dan salam ikhlas penuh ukhuwwah.

Pandanglah kata-kataku ini dengan pandangan kasihnya seorang saudara terhadap saudara yang lain. Ambillah mutiara kata yang baik buat teladan dan tinggalkan kata-kataku yang menyimpang daripada landasan kebenaran.

Sahabatku...

Bermula hari ini binalah sebuah kehidupan baru. Jadilah manusia berhati mulia dan tegakkanlah sinar keIslaman dalam dirimu, semoga nur ILAHI akan membening seluruh perjalannan hidupmu.

Duhai sahabat muslimahku...

Keremajaanmu menyegarkan pandangan, dan melimpahkan nyaman pada malam. Dengan keremajaanmu, kau bisa sahaja menakluk dunia dalam lalai dan leka tanpa kesedaran. Ingatlah, kau bukan dilahirkan sebagai penggoda yang melekakan dunia. Kesegaran dan kejelitaanmu adalah fana belaka. Kelembutan yang menghiasi gerak langkah dan lentuk tubuhmu bakal menyaksikan kau cepat terdedah kepada bahaya dan bahana maksiat.
Peliharalah keindahan yang kau miliki kerana ALLAH mengujimu dengan menerbitkan kau pada bentuk yang teramat indah, halus dan sempurna. Berhati-hatilah kerana sesungguhnya kaum Adam akan menilaimu dengan pandangan yang luar biasa.

Cahaya keriangan di wajahmu adalah kilauan senjata yang menawan. Madu yang menitiskan sarinya meresapkan manisnya dari bibir langsung ke hati adalah suara lembut sang gadis. Elokkanlah nada suaramu dan perlahankan gema bahasamu. Berhati-hatilah menggunakan lidahmu, jangan sampai bibirmu menutur bait-bait tajam yang akan menyakiti hati orang lain.
Fikirlah dengan akalmu sebelum bersuara dan pandanglah teman bicara. Tertib dan sopanmu bagai hembusan angin yang menyamankan, yang bakal ditanggapi menyamai keindahan yang kau miliki setanding dengan ketulusan peribadimu.
Sahabat muslimahku..
Jagalah matamu kerana pandangan mata akan mengalir ke hati dan terbiaslah sesuatu dari panahan syaitan durjana. Jangan sesekali kau memandang mata lelaki dengan sejenak renungan. Jangan biarkan mereka mentafsirkan makna yang bukan kau mahukan. Pandanglah tanpa memberi sebarang makna. Jadikanlah ghadul basar sebagai hiasan matamu. Rebahkan pandanganmu, renunglah setiap inci bumi, nescaya kau berjaya menghindari dosa yang cuba merapatimu.

Ukhti yang dikasihi..

Sesekali, mendongaklah ke langit dan lihatlah kerdipan bintang-bintang, nescaya kau kan temui berjuta keagungan ciptaan Rabbul A`lamin. Betapa hidup ini berjalan di atas makna hikmah dan terselindung daunan pengertian. Hari-hari yang dilalui sebenarnya menyembunyikan banyak hakikat dan makrifat. Sedarlah, hidupmu ini hanyalah secebis dari erti kehidupan.
Selamilah dasar hatimu dan berbisiklah pada diri. Alangkah kosongnya jiwa, alangkah hinanya roh tanpa hiasan apa-apa. Salutilah tubuhmu dengan iman. Kerana ia sangat manis pada pandangan jua perhiasan. Bersihkanlah hatimu, kemanisan iman sukar dikecapi tanpa janji Tuhan.
Jadilah seorang muslimah yang gemar merenung kejadian yang berlaku dan memerhati hikmah dengan mata hati. Muslimah sejati adalah mereka yang selalu berhikmah dalam berkata-kata dan meletakkan perasaan rendah diri sebagai asas mencari ketaqwaan. Zuhud dalam pencarian dunia dengan meletakkan tasawuf ke akhirat sebagai pedoman serta melupakan sifat cintakan dunia yang berlebihan.

Serikandi muslimah sejati..

Alangkah baiknya di saat-saat kau dilanda tribulasi, kau tega mengutip akar-akar kemelaratan dan teguh mengukir senyum buat pengubat kerungsingan. Tatkala kau dalam dilema permasalahan yang meruncing serta kau berasa putus harap dengan dunia, maka sebutlah dan zikirlah berkali-kali ke hadrat ILAHI moga-moga kau bakal bertemu kedamaian.

Sucikan wajahmu dengan air wuduk dan basahkan matamu dengan airmata keinsafan. Tundukkanlah sepenuh hatimu jua dahimu ke tikar sejadah beserta lafaz dan doa kau hembuskan seikhlas jiwa, semurni sanubari memohon keampunan. Renunglah, resapkan kekaguman dan kuatkan keyakinan bahawa hayatmu setiap detik di bawah naungan ALLAH S.W.T.
Kecintaan Tuhan melimpah dan melaut di segenap penjuru alam, walaupun pada yang lupa erti kehidupan. Dan, roh ketenangan akan mendakap dirimu hingga kau terasa tiada tabir yang menabiri setiap kali pertemuan kau dan DIA. Ketaqwaan hendaklah dipupuk agar matlamat dan cita-cita yang kau bawa akan tercapai suatu masa kelak dengan izinNYA, 
Insya-ALLAH..

Akhirul kalam, ingatlah, walau setinggi manapun kedudukanmu di mata masyarakat, jangan sesekali menyombong diri. Sesungguhnya wanita itu lemah. Dan dijadikan lah-rijal sebagai pelindung buatmu. Carilah lelaki yang baik budinya dan teguh imannya. Inilah yang bakal mengukuhkan akar kebahagiaan rohani dan tunjang kecintaan kepada ILAHI, Insya-ALLAH..
Dari Ibn Abbas lah.a dari Rasulullah SAW yang meriwayatkan hadis ini daripada Tuhannya Tabaraka Wa Ta'ala, katanya : " Sesungguhnya ALLAH telah menetapkan yang baik dan yang jahat, dan telah menerangkan keduanya itu. Maka barangsiapa yang bercita kepada kebaikan, kemudian ia tidak mengerjakannya, ALLAH akan mencatit disisinya satu hasanah yang sempurna. Dan jika ia melaksanakan, nescaya ALLAH akan mencatitkan di sisinya sepuluh hasanah hingga tujuh ratus kali lipat ganda dan hingga sampai beberapa kali ganda banyaknya. Dan jika ia bercita-cita mengerjakan sesuatu kejahatan kemudian tidak dilakukannya, ALLAH akan mencatitkan di sisinya satu hasanah yang sempurna. Jika ia meneruskan cita-citanya yang jahat itu dan melakukannya, ALLAH akan mencatitkan baginya satu kejahatan sahaja.


Semoga yang baik itu datangnya daripada Allah S.W.T dan yang buruk itu datangnya daripada kelemahan diri ini jua..

Selasa, 12 Jun 2012

Please Say Alhamdulillah..







بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang



Kisah bermula..


Nabi Musa AS memiliki ummat yang jumlahnya sangat banyak dan umur mereka panjang-panjang. Mereka ada yang kaya dan juga ada yang miskin. Suatu hari ada seorang yang miskin datang menghadap Nabi Musa AS. Orang itu sangat miskin sehingga pakaiannya compang-camping dan sangat lusuh berdebu.

Si miskin itu kemudian berkata kepada Baginda Musa AS,

"Ya Nabiullah, Kalamullah, tolong sampaikan kepada Allah SWT permohonanku ini agar Allah S.W.T menjadikan aku orang yang kaya.

Nabi Musa AS tersenyum dan berkata kepada orang itu,

"Saudaraku, banyak-banyaklah kamu bersyukur kepada Allah SWT."
Si miskin itu agak terkejut dan kesal, lalu ia berkata,

"Bagaimana aku hendak banyak bersyukur, aku makan pun jarang, dan pakaian yang aku gunakan pun hanya satu lembar ini saja"!.

Akhirnya si miskin itu pulang tanpa mendapatkan apa yang diinginkannya. Beberapa waktu kemudian seorang kaya datang menghadap Nabi Musa AS. Orang tersebut bersih badannya juga rapi pakaiannya.

Ia berkata kepada Nabi Musa AS,

"Wahai Nabiullah, tolong sampaikan kepada Allah S.W.T permohonanku ini, agar dijadikannya aku ini seorang yang miskin, terkadang aku merasa terganggu dengan hartaku itu. "

Nabi Musa AS pun tersenyum, lalu ia berkata,

"Wahai saudaraku, janganlah kamu bersyukur kepada Allah S.W.T.
Lalu jawab orang kaya itu,

"Ya Nabiullah, bagaimana aku tidak bersyukur kepada Alah S.W.T?. Allah S.W.T telah memberiku mata yang dengannya aku dapat melihat. Telinga yang dengannya aku dapat mendengar. Allah S.W.T telah memberiku tangan yang dengannya aku dapat bekerja dan telah memberiku kaki yang dengannya aku dapat berjalan, bagaimana mungkin aku tidak mensyukurinya"

Akhirnya si kaya itu pun pulang ke rumahnya. Kemudian yang terjadi seterusnya ialah si kaya itu semakin Allah S.W.T tambahkan kekayaannya kerana ia selalu bersyukur. Dan si miskin menjadi bertambah miskin. Allah S.W.T mengambil semua kenikmatan-Nya sehingga si miskin itu tidak memiliki selembar pakaianpun yang melekat di tubuhnya. Ini semua kerana dia tidak mahu bersyukur kepada Allah S.W.T.


P/s: Semoga ada ruang yang diberikan oleh Allah, untukku merasai dan mensyukuri nikmat Allah S.W.T...

Semoga yang baik itu datangnya daripada Allah S.W.T dan yang buruk itu datangnya daripada kelemahan diri ini jua..

Isnin, 11 Jun 2012

Kisah Lima Perkara Aneh


بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Abu Laits as-Samarqandi adalah seorang ahli fiqh yang masyur. Suatu ketika dia pernah berkata, ayahku menceritakan bahawa antara Nabi-nabi yang bukan Rasul ada menerima wahyu dalam bentuk mimpi dan ada yang hanya mendengar suara.

Maka salah seorang Nabi yang menerima wahyu melalui mimpi itu, pada suatu malam bermimpi diperintahkan yang berbunyi,

"Esok engkau dikehendaki keluar dari rumah pada waktu pagi menghala ke barat. Engkau dikehendaki berbuat, pertama; apa yang negkau lihat (hadapi) maka makanlah, kedua; engkau sembunyikan, ketiga; engkau terimalah, keempat; jangan engkau putuskan harapan, yang kelima; larilah engkau daripadanya."

Pada keesokan harinya, Nabi itu pun keluar dari rumahnya menuju ke barat dan kebetulan yang pertama dihadapinya ialah sebuah bukit besar berwarna hitam. Nabi itu kebingungan sambil berkata,

"Aku diperintahkan memakan pertama aku hadapi, tapi sungguh aneh sesuatu yang mustahil yang tidak dapat dilaksanakan."

Maka Nabi itu terus berjalan menuju ke bukit itu dengan hasrat untuk memakannya. Ketika dia menghampirinya, tiba-tiba bukit itu mengecilkan diri sehingga menjadi sebesar buku roti. Maka Nabi itu pun mengambilnya lalu disuapkan ke mulutnya. Apabila ditelan terasa sungguh manis bagaikan madu. Dia pun mengucapkan syukur 'Alhamdulillah'.

Kemudian Nabi itu meneruskan perjalanannya lalu bertemu pula dengan sebuah mangkuk emas. Dia teringat akan arahan mimpinya supaya disembunyikan, lantas Nabi itu pun menggali sebuah lubang lalu ditanamkan mangkuk emas itu, kemudian ditinggalkannya. Tiba-tiba mangkuk emas itu terkeluar semula. Nabi itu pun menanamkannya semula sehingga tiga kali berturut-turut. Maka berkatalah Nabi itu, 

"Aku telah melaksanakan perintahmu." Lalu dia pun meneruskan perjalanannya tanpa disadari oleh Nabi itu yang mangkuk emas itu terkeluar semula dari tempat ia ditanam."

Ketika dia sedang berjalan, tiba-tiba dia ternampak seekor burung helang sedang mengejar seekor burung kecil. Kemudian terdengarlah burung kecil itu berkata,

"Wahai Nabi Allah, tolonglah aku."
Mendengar rayuan burung itu, hatinya merasa simpati lalu dia pun mengambil burung itu dan dimasukkan ke dalam bajunya. Melihatkan keadaan itu, lantas burung helang itu pun datang menghampiri Nabi itu sambil berkata,

"Wahai Nabi Allah, aku sangat lapar dan aku mengejar burung itu sejak pagi tadi. Oleh itu janganlah engkau patahkan harapanku dari rezekiku."

Nabi itu teringatkan pesanan arahan dalam mimpinya yang keempat, iaitu tidak boleh putuskan harapan. Dia menjadi kebingungan untuk menyelesaikan perkara itu. Akhirnya dia membuat keputusan untuk mengambil pedangnya lalu memotong sedikit daging pehanya dan diberikan kepada helang itu. Setelah mendapat daging itu, helang pun terbang dan burung kecil tadi dilepaskan dari dalam bajunya.

Selepas kejadian itu, Nabi meneruskan perjalannya. Tidak lama kemudian dia bertemu dengan satu bangkai yang amat busuk baunya, maka dia pun bergegas lari dari situ kerana tidak tahan menghidu bau yang menyakitkan hidungnya. Setelah menemui kelima-lima peristiwa itu, maka kembalilah Nabi ke rumahnya. Pada malam itu, Nabi pun berdoa. Dalam doanya dia berkata,

"Ya Allah, aku telah pun melaksanakan perintah-Mu sebagaimana yang diberitahu di dalam mimpiku, maka jelaskanlah kepadaku erti semuanya ini."

Dalam mimpi, beliau telah diberitahu oleh Allah S.W.T. bahawa, 

"Yang pertama engkau makan itu ialah marah. Pada mulanya nampak besar seperti bukittetapi pada akhirnya jika bersabar dan dapat mengawal serta menahannya, maka marah itu pun akan menjadi lebih manis daripada madu.
"Kedua; semua amal kebaikan (budi), walaupun disembunyikan, maka ia tetap akan nampak jua."
" Ketiga; jika sudah menerima amanah seseorang, maka janganlah kamu khianat kepadanya". 

"Keempat; jika orang meminta kepadamu, maka usahakanlah untuknya demi membantu kepadanya meskipun kau sendiri berhajat. "


"Kelima; bau yang busuk itu ialah ghibah (menceritakan hal seseorang). Maka larilah dari orang-orang yang sedang duduk berkumpul menceritakan hal seseorang."

Saudara-saudaraku, kelima-lima kisah ini hendaklah kita semaikan dalam diri kita, sebab kelima-lima perkara ini sentiasa saja berlaku dalam kehidupan kita sehari-hari. 

Perkara yang tidak dapat kita elakkan setiap hari ialah mengata hal orang. Haruslah kita ingat bahawa kata-mengata hal seseorang itu akan menghilangkan pahala kita, sebab ada sebuah hadis mengatakan di akhirat nanti ada seorang hamba Allah akan terkejut melihat pahala yang tidak pernah dikerjakannya. 

Lalu dia bertanya, 

"Wahai Allah, sesungguhnya pahala yang Kamu berikan ini tidak pernah aku kerjakan di dunia dulu."

Maka berkata Allah S.W.T., "Ini adalah pahala orang yang mengata-ngata tentang dirimu.


Semoga yang baik itu datangnya daripada Allah S.W.T dan yang buruk itu datangnya daripada kelemahan diri ini jua..

p/s: sekadar peringatan untuk diri ini jua.